Monday

seindah hiasan . . .





Diibarat seperti sebiji epal.
Epal yang tidak berkualiti amat mudah diperoleh.
Epal yang berkualiti tinggi sangat sukar diperoleh,sangat sukar dipetik,sangat sukar digapai..
Kerana kedudukannya tinggi...istimewa...
terkadang ada epal bertanya,"kenapa aku belum dipetik lagi?"
Lantas dia menggugurkan dirinya menyembah tanah.
sedangkan ia sebenarnya dijadikan oleh Allah dengan begitu tinggi martabatnya.
sehingga tiada siapa yang berani memetiknya.hanya pemuda yang benar-benar hebat yang mampu memetiknya.
jika bukan di dunia,di akhirat nanti.
Andai belum bertemu jodoh,biarlah cinta Ilahi mengisi kekosongan hatimu.
Andai tidak bertemu jodoh di dunia,biarlah cinta Ilahi mengiringi di setiap langkahmu,
duhai wanita sejati . . .







Wanita ibarat pokok semalu.
Pohon semalu akan kuncup selepas disentuh.Ini diibaratkan wanita perlu punyai rasa malu ( pada tempatnya)
Semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.Oleh itu wanita perlu mempertahankan maruah dan diri sebagai wanita muslim.
Semalu mempunyai akar tunjang yang kuat dan mencengkam bumi.Oleh itu para wanita hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Penciptanya.
Semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang.Oleh itu kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.





Jadikanlah dirimu sebagai wanita yang harum seperti mawar berduri.Bisa melukakan jari yang ingin menyentuhnya.Tetap mekar indah mengembang di dalam taman larangan.





Wanita ibarat rama-rama.Ia indah dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan yang tidak sewajar hinggap pada tubuhnya.Sekali sentuh,musnah coraknya,dua kali sentuh habis hilang corak cantiknya.tiga kali sentuh koyak sayapnya lalu jatuh ke tanah.Peliharalah keindahan dirimu.Jangan sesekali membiarkan yang bukan hak sepatutnya memegangmu sebelum yang benar-benar berhak menyentuh dirimu.






Duhai wanita solehah,
jadilah seperti pelangi.cantik,indah dipandang namun tiada siapa mampu menggapainya.
kedudukannya tinggi di langit.orang ramai kagum dan gembira,tersenyum apabila ia muncul di langit terbentang luas ciptaan Allah yang Satu.


**********

Jika anda wanita sejati,anda patut berasa rugi kerana ketahuilah lelaki tidak akan kehilangan apa-apa biar seramai manapun perempuan yang berada di sekelilingnya,tetapi anda sebagai wanita pasti rugi setiap kali ada tangan-tangan yang tidak berhak hinggap di tubuh anda.Sanggupkah anda membiarkan diri anda disentuh sehingga tiada mahalnya lagi diri anda dan digelar perempuan murahan?Apa untungnya digilai dan diminati,kemudian berkorban sesuatu yang ditagih atau diragut dengan kasar,kemudian anda ditinggalkan pergi.Di manakah nilai anda setelah jatuh ke tanah dan kedua-dua sayap anda telah tiada???



Wahai wanita,kasihanilah diri anda dengan menjadikan diri anda berharga.Nilai anda terletak pada harga diri yang sanggup dibayar oleh seorang lelaki dengan harga kejujuran.Apalah erti digilai jika yang menggilai itu hanyalah lelaki yang tidak tahu diri.Anda sama sekali tidak berharga biarpun tinggi nilainya di mata lelaki yang tahu nilainya melihat anda sebagai 'alat'.tapi anda ibarat mutiara di dasar lautan di mata seorang lelaki yang jujur.


Biar bersikap memilih (yang sewajarnya) daripada tersalah pilih.Biar hidup sendiri dan selesa membina pahala daripada berdua tetapi menjadi pencetus dosa ke neraka.Biar hidup sendiri dan masih kekal serinya daripada dikelilingi lelaki tetapi telah hilang maruah diri.Biar menjadi rama-rama dengan sayapnya yang terang dan indah daripada sang kelkatu yang menerjah api. (^_^)





Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang terzahir daripadanya. (An-Nur : 31)




Terkadang kita tercari-cari di mana matahari buat kita,disusuli pula guruh,petir,kilat buat kita.tetapi percayalah selepas hujan,Allah telah menyediakan pelangi buat kita.









note : seorang lelaki yang betul-betul menyayangi anda tidak akan sekali-kali menyentuh anda sebelum bernikah.Sekiranya dia menyentuh anda,dia menghina anda.Kalau betul sayang,dia akan berusaha untuk menikahi anda.

Thursday

Jika Terakhir Buatku

Oh Tuhan
HambaMu ini kekeliruan
Sukar mencari jalan yang benar
Kerna dipaut hasutan dunia
Mencintai yang lain lebih dariMu

Oh Tuhan
HidayahMu pernah hadir
Hingga kering air mataku menitis
Namun terkadang aku berpaling
Kerna mengejar nikmat dunia sementara

Hari ini kubimbangi
Jika terakhir hidup
Adakah lagi subuh esok
Untukku bernafas
Dan sujud mengabdi padaMu

Oh Tuhan
Berikan daku kesempatan
Menebus kesalahan
Lantaran dosa dan noda
Dan sengaja melupakanMu
Hadirkan damai
Sebelum di hujung nafasku

Oh Tuhan
Berikan daku petunjukMu
Untukku meniti ke jalan redhaMu
Izinkan daku mengulangi
Janji yang baru
Taubat nasuha setulus untukMu
Oh Tuhan

Rahmat kasihMu Tuhan
AmpunanMu ku damba

Monday

Sekian lama

Rasa macam dah lama tak meng'update' blog.kenapa ye?haha.sebabnya,jeng.jeng.jeng. *wink* semestinya sibuk dengan sambutan aidiladha(baru-baru ni),aktiviti masak-memasak,kenduri kahwin yang memang banyak jemputan saya dan famili terima,dan sekembalinya ke kolej yang tercinta ini,saya mempunyai test.sekarang baru punyai waktu terluang.tetapi ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada sesiapa dengan tidak mengupdate blog ini.

Alhamdulillah,sedar ataupun tidak,blog ini saya miliki dengan izinNya.tiba-tiba teringat kata-kata seorang kenalan bertanya,"xde orang baca ke blog ni?"

untuk pengetahuannya,saya tidak pernah memberitahu kepada umum tentang kewujudan blog ini.hanya mereka yang terdekat sahaja yang mengetahuinya.sesiapa yang tahu url blog ini tanpa diberikan oleh saya hanyalah suatu kebetulan untuk 'terjumpa'.Sekalipun tiada pembaca langsung untuk blog ini,kenapa saya perlu memikirkannya?atau mencari publisiti atau mempromosikannya?saya lakukannya atas kehendak saya.pengisian di dalam blog ini juga merupakan peringatan untuk diri saya.


Saya miliki blog ini bukan untuk mencari pembaca yang ramai malah saya tidak pernah ambil pusing berapa banyak pembaca blog ini kerana apa yang saya lakukan ini perkongsian saya bersama mereka yang menyedari kewujudan blog ini,yang sudi menyokong saya.juga yang penting,pengisian di dalam blog ini merupakan peringatan untuk diri sendiri.


Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyokong saya selama ini dalam keadaan susah dan senang.semoga ukhuwah kita diberkatiNya.Ukhuwah fillah abadan abada.

Penitian hidup ini hanyalah untuk mencari keredhaanNya.
saya tidak kisah dibenci manusia di muka bumi ini,tetapi saya bimbang dan takut jika dibenci oleh Allah.saya tidak kisah jika tidak mendapat kasih sayang makhluk(selain keluarga sendiri) di muka bumi ini,tetapi takut tidak mendapat kasih dan sayang dariNya.saya tidak kisah jika tidak mendapat perhatian masyarakat bumi tetapi bimbang tidak mendapat perhatian dariNya lalu dibiarkan hanyut oleh arus dunia.cukuplah Allah menjadi Pemerhati setiap tindak tanduk saya.



Biarkan saja apapun tanggapan mereka di alam fana ini terhadap kita,yang penting kita tahu apa yang kita lakukan,tujuan tindakan kita.Yang baik jadikan teladan,yang buruk jadikan sempadan (^_^)

Usah berbangga dengan Calvin Klien & Armani Exchange kerana pakaian terakhir kita adalah kain kafan & perfume kita adalah kapur barus.Usah berbangga dan bongkak dengan BMW x3,5,6 & Mercedes atau semahal mana pun kerana kenderaan terakhir kita adalah keranda yang akan diusung.Usah berbangga denga banglo atau condo mewah kerana tempat beristirehat kita yang terakhir adalah kubur.usah berbangga dengan kehenseman atau kecantikan kerana akhirnya hanya menjadi santapan si cacing dan serangga.

Kami hanya mengejar cintaMu ya Allah.Bimbinglah kami disetiap langkah kami.Amin Ya Rabb.

Wednesday

Kesederhanaan dalam kemeriahan

Tiada promosi besar-besaran.
(ataupun mega sale sana sini.)
Tiada letupan mercun.
Tiada bunga api dipercikkan.
Tiada keriuhan suara kanak-kanak bermain bunga api.
Tiada open house besar-besaran.
Tiada kesibukan sana sini.

Berkurangnya anak rantau pulang ke kampung halaman
(lebih memilih untuk tidak pulang kerana tidak mempunyai cuti panjang.)
Berkurangnya kesesakan lalu lintas.
Ia disambut secara sederhana.

Aidiladha . . .

Kisah tentang penyembelihan Nabi Ibrahim a.s. ke atas Nabi Ismail a.s. yang kemudian diganti oleh Allah s.w.t. seekor kambing
Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; inshaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
(37:102)

Bahawasanya mimpi seorang nabi itu merupakan wahyu sehingga Nabi Ibrahim pun melakukan wahyu yang memerintahkan penyembelihan itu.

"Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya)". (37:103)
Nabi Ibrahim AS telah melaksanakan perintah dalam mimpi itu tanpa keraguan, maka Allah SWT pun berfirman :
"Dan Kami panggillah dia:"Hai Ibrahim", (37:104).
"...sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu", sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik". (37:105)
Allah menerangkan itu semua, dan menyatakan :
"Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata". (37:106). Lalu, Allah SWT mengganti penyembelihan Ismail AS itu dengan firman-Nya,
"Dan Kami tebus anak itu dengan dengan seekor sembelihan yang besar". (37:107).

Sesungguhnya peristiwa tersebut merupakan satu peristiwa besar, menifestasi sebuah pengorbanan agung dalam mentaati perintah Allah. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Zulhijjah ini jugalah yang ‘dirayakan’ oleh umat Islam seluruh dunia pada setiap tahun.

Lembu,kambing ditumbangkan di sana sini.Berlaku penyembelihan sana sini.Daging korban diagihkan sana sini.Mereka yang dalam kesusahan diutamakan.Kerjasama dalam masak memasak dikerjakan.Sama-sama menikmati juadah hasil kemuafakatan.Silaturahim dapat dirapatkan dan dieratkan.(tidak lupa bbq! *wink* ).Jamuan serta kenduri rancak diadakan.(ramai yang mengambil peluang membina masjid.tahniah! (^_^) )

Takbir bergema.Puji-pujian buat Ilahi dilaungkan,didengari sana sini.berterusan sehingga 13 zulhijjah.

Itulah Aidiladha,disambut secara bersederhana tetapi meriah dengan gema alunan takbir memuji kebesaran Allah,sedikit sebanyak menginsafkan diri.Kata orang-orang pantai barat dan utara,Aidiladha lebih meriah di pantai timur(betul ke? *wink* ).Aidiladha lebih meriah daripada Aidilfitri serta lebih banyak mengajar erti pengorbanan sebenar dalam kehidupan(jika diamati betul-betul).Hayati kisah di sebalik peristiwa ini.semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar.InshaAllah.

Note : berita tragis sepanjang menjelang musim perayaan tidak pernah sunyi.Tragedi aidiladha yang mengorbankan sepasang suami isteri serta sepasang anak kembarnya selepas dirempuh sebuah treler dari belakang,meninggalkan dua anak yang masih kecil.sedih mengenangkan dua anak kecil ini yang merengek memanggil ibu bapanya.Semoga roh mereka dicucuri rahmat.Berhati-hati di jalan raya,ingatlah orang tersayang.

Wallahu'alam.

Sunday

Satu


Nothing much to say.Saat ini diri ini bersyukur kerana masih diberi nikmat iman dan islam pada hari ini.Bersyukur juga masih diberi pinjam nyawa menyebabkan saya mampu bernafas pada hari ini.Pada bila-bila masa sahaja Dia berhak mengambil nikmat-nikmat yang melimpah ruah ini dan nyawa ini yang akan menyebabkan roh dan jasad terpisah,lalu perlu melalui satu lagi alam,iaitu alam barzakh.Bila,di mana,bagaimana,hanya Dia yang Maha Mengetahui.Allahuakbar.SubhanAllah.

Hari kesembilan Dzulhijjah,disunatkan berpuasa bagi mereka yang tidak menunaikan haji.

Rasulullah s.a.w. bersabda : Puasa pada hari 'Arafah itu menebus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (hadis riwayat Imam Muslim)

selamat berpuasa sunat pada hari 'Arafah. ;-) Moga-moga kita diberkatiNya.

Sesungguhnya solatku,ibadahku,hidupku,matiku hanyalah kerana Allah Taala.Tiap-tiap hari bermula daripada kita bangun dari tidur sehinggalah kita tidur kembali nikmat dariNya tidak putus-putus.
Hanya kepadaNya sahaja tempat kebergantungan kita.selama mana kita bergelar hambaNya,selagi itulah kita bergantung 100% kepadaNya.


Suatu hari seorang arab badawi datang bertemu Rasulullah s.a.w.,katanya, "wahai Rasulullah,adakah Tuhan itu dekat sehingga kami dapat bermunajat kepadaNya?atau Tuhan itu jauh sehingga kami perlu menyeru kepadaNya?"

Firman Allah,"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah),bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu,maka hendaklah mereka itu memenuhi(segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu,agar mereka selalu berada dalam kebenaran."(2:186)
Berpegang teguhlah kepada janji Allah ini,kerana tiada yang paling setia dengan janjinya melainkan Allah semata-mata.Allah memberikan baik dan buruk sesuatu perkara hanya atas tiga perkara : kerana Dia mahu mengingatkan kita kepadaNya,kerana Dia mahu mengampunkan dosa kita,kerana Dia mahu mengangkat martabat kita di sisiNya.

Kita diuji kerana Dia sayangkan kita.Terimalah sesuatu ujian itu dengan hati yang redha.Malahan ujian itu pelbagai bentuk.


"Cukuplah Allah bagiku.Tiada Tuhan selain daripadaNya.Hanya kepadaNya sahaja aku bertawakkal." (At-taubah : 129)


Selamat menyambut hari raya Aidiladha kepada semua.Semoga kita dapat meraikannya dengan penuh kesyukuran dan limpah rahmat kasih sayangNya.inshaAllah.

Wallahu'alam.

Friday

Ubat dan Racun


Dunia oh dunia.pelbagai isi di dalamnya.baik dan buruk.jalan yang lurus dan jalan yang bengkang-bengkok.dunia,persinggahan sementara manusia.akhirat jua yang kekal abadi.

Penitian kehidupan di dunia ini akan mempertemukan kita dengan pelbagai ragam makhluk ciptaanNya.di alam yang fana ini kita akan temui 2 jenis golongan dalam hidup kita.pertama,golongan yang suka akan kita.kedua,golongan yang benci atau tidak menyukai kita.perasaan suka akan sesuatu akan membuatkan kita gemar melihatnya walaupun berulang kali dan memberikan pujian terhadap kesukaan kita itu.apabila terbit perasaan benci maka,tiadalah kemahuan untuk memandangnya juga memuji,malahan cercaan,cacian atau hinaan akan dilemparkan.Itulah realiti kehidupan.

Celaan itu suatu kepastian,maka kita mesti pandai menata hati.Jangan biarkan ucapan negatif orang lain itu mengeruhkan hidup kita,menguruskan tubuh kita dan menahan kita daripada aktiviti yang bermanfaat untuk masa depan kita.Setiap kali mendengar celaan,pandanglah ia sebagai ubat,semakin pahit rasanya semakin baik untuk kesihatan kita.

Imam al-Ghazali berkata, "sering kali manfaat yang kita dapat daripada celaan orang yang memusuhi kita lebih banyak daripada manfaat yang kita dapat daripada teman-teman yang selalu memuji kita."

Pujian memang manis,namun mengandungi racun yang boleh merosakkan hati manusia.Semakin terbiasa seseorang mendengar pujian,semakin hatinya tertutup daripada kebenaran.Tanda seseorang sangat hina di mata Allah,Allah membiarkannya tenggelam dalam pujian.

Celaan memang pahit namun ia berisi ubat yang akan mengubah hidup kita menjadi lebih sempurna.Biarkan mereka mencela diri kita,seburuk atau seteruk mana pun,ia lebih baik jika kita mengambil langkah tidak melawan atau membalas kembali sebagaimana yang dia lakukan terhadap kita.Berdiam diri bukan bermaksud pengecut tetapi bersabar.malah Allah menyayangi mereka yang sabar.

"Allah sentiasa mencintai orang-orang yang sabar" (3:146)

"Sesungguhnya Allah bersam orang-orang yang sabar" (2 : 153)

Agaknya yang paling sukar adalah sabar dalam menerima perkara yang mendukacitakan seperti kematian orang yang tersayang,kehilangan harta benda atau dicaci dihina dengan seburuk-buruknya.kesabaran amat penting agar sifat tabah,mencari penyelesaian dan menenangkan diri dapat dilakukan tanpa keluhan atau teriakan.

"Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." ( 28:77 )

Akan tetapi sabar bukanlah sesuatu sifat yang boleh bermastautin di dalam jiwa manusia.ia boleh berubah-ubah,sifat yang boleh wujud dan hilang,boleh tinggi dan rendah,boleh berlaku kepada sebahagian jenis kesabaran dan tidak berlaku kepada sebahagian jenis yang lain.Maka orang di sekeliling juga diri sendiri perlu prihatin menasihati diri untuk bersabar.
Tidak ketinggalan memohon pertolongan Allah agar dikurniakan sifat sabar kepada diri kita, kerana Allah berfirman,
"Dan bersabarlah dan tiadalah kamu dapat bersabar melainkan dengan (pertolongan) Allah." (16 : 127)

Wanita yang solehah tersenyum dalam kesusahan.mendapat kekuatan melalui doa,menenangkan hati melalui istighfar,dan mendidik diri melalui solat yang khusyu',susah itu tarbiyyah dan sabar itu indah.InshaAllah.

sekadar renungan dan perkongsian,juga nasihat buat diri sendiri yang pastinya tidak terlepas daripada kekurangan dan kelemahan.

Wallahu'alam.

Tuesday

cerah dan gelap


Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup,pintu lain dibukakan.Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu yang lain yang dibukakan bagi kita.Jangan terlalu gembira di dunia ini kerana kebahagiaan di dunia hanyalah bersifat sementara.Jangan terlalu bersedih apabila ditimpa musibah kerana sesungguhnya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang terjadi.Bersangka baiklah kepada Allah kerana Dialah Yang Maha Mengetahui serta Maha Bijaksana.

Rintik hujan daun kebasahan
Kenangan larut di arus rindu
Malam gelap zulumat yang menutup sinaran
Kemarau hati semakin pilu


Hanya gemersik angin dari pohon-pohon
Yang mengimbau ingatan meramas nurani
Bak amukan gelora yang menghempas di dada
Resah sendumu menggamit derita
Berderaian air mata

Yang pulang pergi usahlah dirintih
Doakan saja dikurnia sejahtera
Apalah diratap dengan tangis keharuan
Leraikan hiba pujuklah hatimu
Pemergiannya iktibar buatmu

Usah dianyam sepi dengan kesedihan
Tak terhalang segala kehendak Ilahi
Dituruti rasa tak sampai ke mana
Duka dan lara melemahkan jiwa
Simpanlah di hati

Bila sampai di garis sempadan
Perahu usia di hentian terakhir
Tiada pun sesaat detiknya dipertangguh
Hidup direntas ketentuan takdir
Kemarau hati biarkan berlalu.
-Kemarau hati- (buat mereka yang diuji dan sedang bersedih hati.semoga dapat mengambil iktibar)

Terkadang keindahan hidup terasa hilang apabila orang yang kita sayang,seorang demi seorang pergi meninggalkan kita.(ya,saya sudah pernah merasai kehilangan ahli keluarga sendiri).Walau apapun,hidup ini harus diteruskan kerana kita masih punyai amanah sebagai anak,pelajar juga yang penting sebagai hamba Allah sepanjang kita bermusafir di atas muka bumi Allah ini.setiap orang pasti akan merasai mati,tidak dilambatkan mahupun dipercepatkan.Sentiasalah bersedia untuk menghadapinya.
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati ( 3:185 )

Ketenangan itu milik hati-hati yang beriman agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan.Orang yang banyak menderita,jiwanya akan perkasa dan orang yang ditimpa kesusahan akan selalu mengingati Allah s.w.t..Bertuahlah apabila iman diuji kerana jika sabar dan tabah menghadapinya pasti ada kemenangan yang menanti.

Wallahu'alam.

Sunday

KetentuanNya


Wahai manusia,sesungguhnya kami menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. (Al-Hujurat : 23)


Itulah mereka.perkenalan mereka tidak dirancang.mereka bersahabat.si lelaki sebagai "L" manakala si perempuan,"P".P ikhlas bersahabat dengan L tanpa timbul sebarang perasaan lebih daripada seorang sahabat.tetapi L memberitahunya bahawa dia ikhlas terhadap P dan ingin menjadikan P sebagai suri hidupnya jika diizinkanNya.



sungguhpun begitu,hati P tidak mudah menerima.malah tidak pernah terbuka kepada mana-mana lelaki.kerana prinsip hidup P ,tiada cinta untuk mana-mana lelaki selagi belum mempunyai ikatan yang sah.lalu,sedaya upaya P memelihara hati yang dipinjamkan Sang Penciptanya.Kadang-kadang L menyedari akan tindakan P yang solah-olah meragui keikhlasannya,walau bagaimanapun,L sedaya upaya berusaha meyakinkan diri P.


akhirnya P mendapat kekuatan untuk memberitahu kepada L sebab kelakuan dirinya yang sebegitu rupa dan P menjelaskan prinsip hidup P.L boleh menerima dengan berlapang dada,kerana katanya bukanlah kehadiran dirinya untuk menyusahkan apatah lagi mengganggu hidup P.Bahkan L menghormati prinsip yang P pegang juga pendirian yang P pertahankan.Juga P tegaskan,P tidak mahu L meletakkan sebarang harapan yang menggunung,kerana dia sedar manusia hanya mampu merancang Tuhan yang menentukan.ajal maut jodoh pertemuan dalam tangan Tuhan.L hanya menunggu masa yang sesuai untuk berjumpa kedua-dua ibu bapa P.


L betul-betul menerima, apa sahaja yang cuba dilakukan P,cuma L ada memberitahu P,"saya tak tahu ajal saya bila,cuma saya nak awak tahu satu perkara,yang saya betul2 ikhlas terhadap awak." P yang mempertahankan prinsip hidupnya membiarkan kata-kata itu berlalu begitu sahaja.walaupun sebelum itu L ada memberitahu P bahawa dia telahpun menceritakan perihal diri P kepada familinya.




Mereka juga jarang berhubung atas permintaan P.P benar-benar cuba mempertahankan prinsip,mengelakkan sebarang perasaan terhadap lelaki,menepis dugaan cinta lelaki.seolah-olah segalanya dipermudahkan,Alhamdulillah.


ianya kerana Allah,juga agama yang dipegang juga demi ibu dan ayahnya kerana P tahu ayahnya begitu bimbang akan dirinya apabila dia berada di luar rumah,juga apabila jauh daripadanya walaupun ayahnya tidak pernah menyatakannya tetapi melihat kepada reaksi ayahnya,P dapat membacanya.


Pada 4 November,seusai membaca yaasin selepas solat maghrib,P terpandang satu post dalam facebook di bawah caption gambar diri L ditagged,"kami merindui saat bersamamu.semoga cepat sembuh".P terkejut,betul-betul terkejut selepas membaca komen di antara kawan-kawan L,L telah kemalangan dan sedang kritikal di hospital.Kata kawannya dia tertidur ketika memandu lalu terbabas melanggar pokok dan hentakan antara steering dengan dadanya begitu kuat menyebabkan sebahagian hatinya rosak.


Saat P tahu akan perkara itu,L sedang dibedah untuk membuang hatinya yang rosak.Alhamdulillah,pembedahan telah berjaya.Namun,L masih kritikal.Ya Allah,betapa besar ujianMu kepadanya.Tiada apa yang mampu P lakukan selain berdoa semoga L selamat.hendak melawat,hospital selayang jauh,dan sukar untuk pergi menggunakan public transport.P mahu mengajak abangnya,tetapi abangnya sedang sibuk mengumpul peluru untuk berperang dengan final exam nya.P tidak mahu mengganggu abangnya.





Lalu hasrat itu terpendam begitu sahaja.perasaan P sedikit lega apabila abang P memberitahunya,dapat menemaninya melawat L pada hari isnin pagi,8 nov memandangkan dia mempunyai gap untuk paper seterusnya dan kelas P pada sebelah petang.




Ahad,7 November,1.30 ptg,"innalillahi wainna ilaihiraajiun,L selamat kembali menemui rabbnya".Itulah yang P baca dalam shoutbox di blog L selepas solat zohor.Ya Allah,dia telah kembali kepada penciptanya.tanpa sempat P pergi menziarahinya.akhirnya,L telah pergi untuk selamanya.


Lalu P memaklumkan hal itu kepada sahabat rapatnya,juga ibunya.Ya!Ibunya!She told her about him kerana sebelum ni memang P memberitahu serba sedikit mengenai semua kawan lelakinya kepada ibunya,supaya ibunya tahu dengan siapa dia berkawan.



kata-kata ibunya memberi sedikit kekuatan kepadanya,redha menerima kehilangan seorang sahabat.oleh kerana tidak dapat pergi menziarahinya,P menghubungi adik L,untuk mengucapkan takziah.



Kita hanya mampu merancang,Tuhan yang menentukan.Setelah pemergian L,P baru terperasan,sudah ada tanda-tanda yang L tunjukkan,tetapi hanya P yang tidak diberi peluang oleh Allah,untuk menyedari hal itu.Beberapa hari sebelum L kemalangan,dia berkelakuan agak pelik,banyak kali pesanan ini diulang,"jaga diri elok-elok ye" di setiap hujung mesej.apabila P bertanya,L hanya membalas "=)" lalu menukar topik.sehinggalah pada last mesej,pesanan yang sering diucapkan "jaga diri,jaga iman,hiasi peribadi".Itulah dia,L,sebenarnya seorang yang begitu semangat ingin menuntut ilmu agama,terus mendalami ilmu agama,juga berusaha untuk belajar bahasa Arab walaupun dia dia tidak mempunyai asas di sekolah dulu.Satu perkara yang benar-benar menyentuh hati P,juga menyebabkan P mampu mengalirkan air mata,apabila adik L berkata,"siapa cakap saya tak kenal akak,saya dan famili kenal sangat akak.abang saya banyak beritahu kami tentang kebaikan akak." (Ya Allah,sebenarnya dirinya lebih baik dari diri ini)



Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Al-fatihah.

Apabila kita ikhlas dan lakukan sesuatu kerana Allah,inshaAllah kita akan mendapat ganjaran.

bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kini P pasrah,redha dengan ketentuanNya,menganggap ini sebagai ujian daripada Allah s.w.t. mungkin sudah tertulis di luh mahfuz,L bukan untuk P.



"Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi,yang menciptakan(semua makhluk) dan menyempurnakannya,yang memberi takdir kemudian mengarahkan(nya). (Al-A'la: 1-3)


Dia (Allah) yang menciptakan segala sesuatu,lalu Dia menetapkan atasnya qadar(ketetapan) dengan sempuran-sempurnanya.(Al-Furqan : 2 )


Dan sesiapa yang berserah diri kepada Allah,(dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan,maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan(tali agama) yang teguh dan (ingatlah) hanya kepada Allah kesudahan segala urusan. (31:22)



Ukhuwah itu bukan pada indahnya pertemuan,tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya (Imam Al-Ghazali)

Note : "Tiada rahsia untuk terus gagah berdiri menepis dugaan cinta lelaki melainkan prinsip yang merantai diri."



Bernoktah sudah sebuah cerita . . .





P - siapa P ??? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Thursday

Ujian


Langit tak selalu cerah.panas tak selalu sampai ke petang,kadang-kadang hujan di tengah hari.pelangi tak selalu muncul,bila pelangi muncul ramai yang teruja melihatnya.betapa indahnya ciptaan Allah.subhanallah.

Begitu juga kehidupan.Sekejap rasa manis,sekejap masam,sekejap masin,sekejap pahit.Kadang-kadang kita diuji dan diuji.Bagaimana cara kita nak mengatasinya,terpulang kepada diri masing-masing.
Jangan salahkan ujian apabila diuji.Ujian itu dari Allah.Sakit adalah ujian dari Allah,sihat pun ujian dari Allah.Allah menguji hambaNya sesuai dengan kemampuan hamba-hambaNya.

Ujian itu menguji tahap keimanan seseorang,sama ada dia benar-benar beriman atau sebaliknya,

"Alif Laam Miim.apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman".sedang mereka tidak diuji lagi?Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut : 1-3)

ujian itu merupakan hakikat kehidupan di dunia,

"Maha Suci Allah di tangan-tanganNya segala kerajaan,dan Dia maha kuasa atas segala sesuatuYang menjadikan mati dn hidup,supaya Dia menguji kamu,siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.Dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun." (Al-Mulk : 1-2)

ujian adalah satu bentuk cinta Allah terhadap hamba-hambaNya,

Dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : Besarnya sesuatu pahala adalah bergantung dari besarnya ujian dari Allah.Dan sesungguhnya Allah s.w.t apabila mencintai sesuatu kaum,Allah menguji mereka.Jika (dengan ujian tersebut) mereka redha, maka Allah pun memberikan keredhaanNya.Dan siapa yang marah(tidak redha),maka Allah pun marah terhadapnya.(HR. Turmudzi dan Ibnu Majah)

Tidak dinamakan hidup jika tiada kekusutan.Tidak dinamakan kematangan jika tiada kekalutan.Kekuatan itu yang harus dicari untuk meleraikan kekusutan dan kekalutan.


Note : semoga Muhammad Luqman bin Razali cepat sembuh dan semoga Allah kuatkan semangatnya untuk kembali pulih seperti sedia kala.Ya Allah,berikanlah kesembuhan kepadanya.sesungguhnya dia dan keluarganya sedang diuji.amiiin.InsyaAllah.

Tuesday

kata-kata


Sejak akhir-akhir ini saya terbaca banyak post di blog-blog,tidak kurang juga notes di facebook.Ternyata kini ramai yang suka meluahkan pendapat mereka juga meluahkan perasaan mereka terhadap sesuatu hal di laman sosial.Senang cakap,kritik.Saya kira ianya bagus dapat bertukar-tukar buah fikiran antara satu sama lain tetapi malangnya,yang tidak sedap didengar mahupun dibaca adalah bahasa-bahasa,kata-kata serta istilah-istilah yang digunakan agak kasar dan kadang-kadang agak kesat untuk didengari.(maaf,saya tidak memberi contoh untuk words itu kerana saya tidak mahu mencemari ruangan blog saya dengan kata-kata seperti itu dan saya rasa anda pun sudah tahu perkataan itu.)

Baru pagi tadi saya tertonton satu video,seseorang mengkritik seseorang yang lain.Sejujurnya saya terkejut,apakah yang dipakai di atas kepalanya itu sekadar simbol.Tidak perlulah saya nyatakan siapa orang itu.
Astaghfirullah.Astaghfirullah.Astaghfirullah.

Ya.Kita rakyat Malaysia.1Malaysia.Kita punyai hak.Hak kebebasan untuk bersuara.Membantah apa sahaja yang kita rasakan tidak serasi dengan diri kita,tidak sependapat dengan pendapat kita,tidak sehaluan dengan kita.Tetapi kalau ye pun nak kritik,gunakanlah perkataan,words atau istilah yang sopan.Kita kan orang melayu,bukan setakat melayu,tapi Islam.Jangan jadikan perkataan ISLAM yang tertera pada kad pengenalan hanya sebagai nama.

Kata-kata seorang sahabat di laman sosial,
"Dunia akhir zaman : sesungguhnya daging para ulama' itu beracun.Allah akan membalas kepada sesiapa yang menyakitkannya sebelum dirasakan lagi baginya azab di akhirat."

Firman Allah Taala : katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dan yang tidak mengetahui?sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pengajaran.
Syukurilah nikmat-nikmatNya pada diri berupa rasa cinta kepada orang-orang baik dan perbuatan-perbuatan baik.tatkala kita bersyukur ia akan menambah kenikmatan pada diri kita dari segi zahir mahupun batin.berprasangka baiklah terhadap hamba-hamba Allah sebab rahsia-rahsiaNya sentiasa terpendam dalam diri mereka.sudut-sudut bumi tidak akan pernah kosong dari hamba-hamba pilihan yang menanggung rahsia itu.
seperti sepotong syair,andai bukan kerana mereka di tengah-tengah manusia,nescaya bumi dan gunung-gunung akan luluh berkecai oleh terpaan dosa-dosa.

Kita boleh menegur sesiapa sahaja,bahkan menjadi tanggungjawab kita sebagai orang islam menegur saudara kita sekiranya melakukan kesalahan atau yang tersilap langkah atau lari dari landasan syariat,lebih-lebih lagi hal yang berkaitan agama.

Tapi cara,kaedah,method yang digunakan perlu betul.Bukan sekadar tegur,tegur dan tegur habis-habisan dengan menggunakan perkataan yang kurang sopan.Islam mengajar kita untuk menegur secara berhemah.Jadi,gunakanlah words yang sopan.Bukan sahaja tidak menyinggung perasaan orang lain bahkan teguran itu lebih mudah diterima.Cuma mungkin kadang-kadang teguran yang lebih 'advance' diperlukan.Yang tu tengok keadaan la pulak ye.Don't get me wrong ok. ;-)

Lihatlah,,,sekiranya terus menegur dengan menggunakan perkataan-perkataan kesat,ia lebih memudaratkan keadaan dan terus berlanjutan sehingga saling mengata sesama sendiri.Bimbang tindakan sebegitu hanya mengaibkan diri sendiri.
Konklusinya,tegurlah dengan berhemah dan berdedikasi!

p/s : Saya memohaon maaf sekiranya selama ini saya ada terkasar bahasa atau telah menyinggung perasaan anda.

Wallahu'alam.

Monday

Hanya di bibir


Kadang-kadang kita hanya membuta tuli membuat apa yang disuruh.Apabila ditanya apa yang sedang anda buat,mengapa anda lakukannya,terkadang tiada jawapan untuknya,sekadar mengangkat bahu dan menggelengkan kepala.Jika ditanya mengapa tutup aurat?Sebab ayah suruh sejak dari kecil lagi.Kenapa puasa?Sebab bulan Ramadhan,semua orang berpuasa(walaupun kadang-kadang ada je yang berlakon berpuasa) . Kenapa solat?Sebab ayah suruh,masa kecik dulu kalau tak solat kene rotan,sekarang dah jadi amalan.


Adakah semua yang kita buat hari ini hanya disebabkan ayah dan mak suruh?Atau keterbiasaan bagi kita kerana ianya adalah amalan yang selalu di buat??? Tepuk dada tanya iman,dan check balik apa nawaitu kita ;-) (muhasabah diri untuk diri sendiri )


Kita selalu solat.Tiap-tiap hari kita solat,5 kali sehari lagi.Solat di awal waktu atau di penghujung waktu?Dan apa yang kita baca serta sebut dengan lidah kita ini,faham atau tidak?Tahukah kita maksud bacaan dalam solat? (sekali lagi mengingatkan diri sendiri)


Dalam tidak sedar sebenarnya setiap hari kita memohon dalam solat,hanya tersebut di bibir tetapi tidak terkesan pada hati. (mungkin ada orang sudah sedia maklum akan perkataan ini,tapi di sini saya sekadar berkongsi dan mengingatkan diri sendiri) Cuba renungi bacaan ketika duduk antara dua sujud.


Rabbighfirli (Tuhan,ampuni aku)

Wahamni (Sayangi aku)

Wajburnii (Tutuplah aib-aibku)

Warfa'nii (Angkatlah darjatku)

Warzuqnii (Berilah aku rezeki)

Wahdinii (Berilah aku petunjuk)

Wa'aafinii (Sihatkan aku)

Wa'fuannii (Maafkan aku)




Bersyukurlah kita.Besarnya doa ini,betapa kebanyakan daripada kita hanya remehkan ia begitu sahaja.
Dalam majlis tazkirah keluarga kami yang lalu,Ustaz Zawawi Yusoh ada mengingatkan kami supaya khusyuk dalam solat.Solat yang diterima solat yang khusyuk.Pesannya lagi,sebagai langkah asas untuk khusyuk dalam solat,fahamilah makna setiap bacaan dalam solat.

Q : adakah solat kita hanya sekadar amalan harian yang biasa di buat?

renung-renungkan dan selamat beramal *wink*


note : *sekadar perkongsian*