Redupnya pagi sejuk di bawah titisan embun,sang mentari muncul memancarkan sinarnya penuh kebanggaan,si purnama dengan tunduk akur menyembunyikan diri.Sepoi-sepoi angin menghempas ke wajah menambah rasa tenang,lensa semula jadi pada diri ini masih mampu dibuka dengan izinNya untuk melihat keagungan ciptaanNya.'Memory card" yang masih berfungsi membawa fikiran melayang pada kenangan semalam.
Pertemuan yang tidak pernah terlintas di fikiran,menjentik rasa di hati untuk terus bersahabat.Ucapan salam diterima sebagai tanda perkenalan.Hari demi hari yang dilalui menambah keakraban,menguatkan ukhuwah.Lorong kehidupan masing-masing membawa kita berjauhan.Kesibukan menguruskan pelayaran sendiri sedikit sebanyak menjarakkan hubungan.
Jalinan yang terbina cuba diyakinkan untuk memperoleh kepercayaan kerana kepercayaan adalah rempah utama dalam perhubungan.Kesempatan berhubung memberi peluang bertukar pendapat dan saling memotivasikan diri ke arah kebaikan.
badai mana tidak dilambung ombak,laut mana tidak bergelora.sekali-sekala terpijak juga duri dalam mengatur langkah,sehingga terkadang menghiris hati yang satu.masing-masing menuding jari pada diri sendiri,mengakui kelemahan sebagai seorang insan,akhirnya hubungan terbina kekal bertaut.Dirimu ku kagumi kerana tabah dan sangat sabar melayani kerenah diri ini.cuma kadang-kadang diri ini rimas kerana meletakkan diri ini ditempat tinggi,walhal dirimu lebih tinggi kedudukannya,lebih baik dari diri ini.disebabkan itu dirimu bagaikan menelan peria dalam perkenalan sementara ini.
Diriku hanyalah insan biasa yang mengaharapkan redhaNya,berusaha melakukan suruhanNya menjauhi laranganNya yang kadang-kadang tergelincir,Daku punyai rasa kasih dan sayang kurniaan Ya Rahim.Namun,perbezaan kita yang membataskannya lalu tersimpan kemas di dalam kotak hati.
Masa yang berdetik pantas,kata-kata dipegang dan janji disimpul.ku pegang kata-katamu menanti masa untuk direalitikan.Tanpa diduga,tanpa dirancang rapi,pertemuan secara kebetulan terlakar.Siapa sangka itulah yang pertama dan terakhir kerana dirimu dijemput Izrail bertemu cinta paling agung.Hatimu yang rosak teruk menjadi asbab nafasmu terhenti.Halangan demi halangan dihadapi untuk menziarah,ingin sekali bertemu mata dengan ayah,ibu dan adikmu,namun pasrah.akur.doa dikirim,dengan harapan damailah dirimu di negara abadi.
Kenangan semalam disimpan.Daku sedar,siapalah diri ini untuk menyayangimu,kerana Dia Yang Maha Esa lebih menyayangimu.Perpisahan semalam menjadikan hari jadimu tahun ini kuhadiahkan Al-Fatihah . . .
Note : Sesiapa sahaja yang mencintai kita itu hakikatnya Allah yang menjadikannya dan Allah jua yang menitipkan rasa cinta itu ke dalam dirinya untuk mencintai kita.
Tundukku malu kepadaMu atas pemberianMu,
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu,
Aku buta tanpa bimbinganMu,
Aku cacat tanpa hidayahMu,
Aku hina tanpa rahmatMu,
Kuatkanlah hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala dugaan yang datngnya dariMu.
No comments:
Post a Comment