Alhamdulillah,akhirnya tetamu yang dinanti-nantikan telah tiba.Semoga sama-sama memanfaatkan peluang yang masih diberi.
Begitu juga sms yang dikirim tidak putus-putus bagi menghulurkan kemaafan sesama sendiri.Kepada rakan-rakan yang membaca post ini,terima kasih di atas kiriman sms kalian,tersangat menghargai namun kemaafan dipinta atas kelewatan membalasnya.
Hulur maaf kalian saya sambut dengan rasa rendah diri dan diri ini juga ingin memohon maaf kerana sebagai manusia,pasti tidak terlepas dari melakukan kesilapan.Juga ucapan selamat menyambut Ramadhan,sangat saya hargai kerana itu tanda ingatan ukhuwah kita masih berkekalan.Syukur.
Diringkaskan,sedikit perkongsian beberapa sunnah Nabi yang khusus pada Bulan Ramadhan :
Bangun Sahur dan melambatkan sahur.
Sabda Baginda s.a.w. : Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.
Menyegerakan berbuka puasa dan berbuka dengan tamar atau air.
Sabda Baginda s.a.w. : Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.
Perbanyakkan Doa.
Sabda Baginda s.a.w. : Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka,pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.
Jauhi pertengkaran dan pertuturan yang tidak elok.
Sabda Baginda s.a.w. : Barangsiapa yang tidak mreninggalkan kata-kata dan perbuatan buruk,maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.
Bersiwak / menggosok gigi.
Banyakkanlah menderma di dalam bulan Ramadhan.
Dari Ibnu Abbas r.a. : Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang dermawan dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan.
Banyakkan membaca dan mempelajari isi Al-Quran pada bulan Ramadhan.
Beri makan kepada orang lain untuk berbuka puasa.
Sabda Baginda s.a.w. : Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa,maka ia mendapat pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu.
Hidupkanlah malam Ramadhan dengan solat-solat sunat.
Sabda Rasulullah s.a.w. : Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari Allah,maka diampunilah segaala dosanya yang telah lalu.
Gandakanlah amalan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Beriktikaf di masjid pada bulan Ramadhan.
Mudah-mudah hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita dan mudah-mudahan melekat ke dada kita akan ketaqwaan.Allahumma amin . . .